ARTIKEL ISLAMIK
Pemuda Al-Quran Yang Dinanti-nantikan
Dikarang oleh : Muhammad Ammar Yaser Bin Ahmad Nazri
Sungguh hairan melihat setiap hari pemuda
menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya
tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak
akalnya. Walhal, kejayaan seorang pemuda yang dinanti-nantikan bukanlah
bergantung pada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian
pemikirannya. Atas
pedoman yang sama, percayalah Pemuda Al-Quran suatu penantian buat kita.
Pemuda Al-Quran yang digambarkan dalam surah Yusuf ayat 36 yang
bermaksud :[ Dan masuklah
bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya
(bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat
diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi:
"Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku,
yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata):
"Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu:
dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)"]
Kitab Tafsir Ibnu Kathir Tahzib Wa Tartib, Mufassir Rabbani Dr.Solah
Abdul Fattah Al-Khalidi telaf memberi tafsiran dalam ayat ini berkaitan seorang
pemuda iaitu Nabi Yusuf a.s yang dilihat oleh khadam raja sebagai pemuda yang
sering melakukan kebajikan dan beribadah kepada Allah dalam penjara. Kita juga
dapat lihat bahawa tugas seorang pemuda itu perlu berusaha menjadi qudwah dalam
kalangan masyarakat dan beriman kepada Allah utamanya. Maka jelaslah terbukti
firman Allah yang mulia ini menggambarkan salah satu sifat pemuda Al-Quran
iaitu qudwah atau suri teladan masyarakat.
Terdapat pelbagai ayat dalam kitab
Allah, Al-Quran yang menceritakan hampir 100 kali berkaitan kisah pemuda.
Antaranya kisah Nabi Ibrahim a.s dan Ashabul Kahfi. Kisah mereka membuktikan
bahawa apa ertinya hidup mencari tuhan, asas aqidah dan perjuangan menegakkan
agama Islam. Tiada guna hanya cemerlang
di dunia tetapi iman tidak dijaga. Rosak dimamah virus dunia yang berlegar di depan mata. Secara tuntasnya,
kita dapat memahami seorang pemuda itu perlu sedar bahawa dia membawa agamanya.
Sudah semestinya perbezaan yang sangat ketara wajib berlaku dari sudut tingkah
laku dan akhlak pekerti mulia berbanding dengan pemuda bukan Islam.
Namun pada hari
ini, dunia menangis lerih meratapi pemuda sebegitu. Dunia mengeluh mengeluarkan
jerebunya kerana sikap dan realiti pemuda kini yang tiada kualiti. Pemuda yang
membaca Al-Quran merangkak-rangkak dan terjerumus dengan kancah kemaksiatan
tidak dapat dikira. Kita dikejutkan lagi dengan pemuda yang terlibat dengan kes
disiplin, buli, dadah, seksual dan samseng dan baru-baru ini terlibat dengan
kes pembunuhan seoran kawan dan bakal ipar. Sunnguh tidak berdaya membawa nama
seorang pemuda. Namun demikian, inilah realiti yang perlu kita terima walaupun
pahit hakikatnya. Siapa lagi jika tidak kita yang bakal membuat perubahan?
Sesungguhnya firman-firman Allah yang
menggetarkan jiwa dalam Al-Quran kitab paling mulia, seawal Nabi Adam a.s
diajar agar mengerti dan memahami, Nabi Ibrahim a.s diasuh agar berfikir dan mentafsir,
bahkan anjuran “Iqra’,bismirabbikallazikhalaq” kepada Nabi Muhammad S.A.W
menjelaskan usaha mendidik manusia tiada titik noktahnya.
Tugas pendidikan bukan hanya guru dan ibu bapa
sahaja tetapi tugas kepada setiap individu bergelar manusia. Pemuda merupakan
aset yang bakal menggantikan tampuk kepimpinan Malaysia akan datang dan perlu
melakukan anjakan paradigma buat negara tercinta. Di mana letaknya laungan, saranan
juga advokasi Pemuda Harapan Bangsa Pemudi Tiang Negara? Jangan dibiarkan lapuk
dek hujan, lekang dek panas bahkan kita perlu buktikan kejujuran melalui
tindakan. Tidak hanya berakhir di hujung lisan tetapi disudahkan dengan
perbuatan.
Mentaliti melahirkan pemuda Al-Quran kelas
pertama wajar dibina juga merupakan anjakan pemikiran manusia yang tinggi akal
budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu
menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.
Prof.Dr Yusuf Al-Qaradhawi Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia membicarakan dalam
bukunya berjudul Wajib As-Syabab Fil Islam, pemuda umpama sang mentari apabila
waktu tengahari menggambarkan personafikasi pertambahan haba panas yang sangat
kuat dan panas. Biarlah panas itu memberikan kebaikan kepada seluruh alam
termasuk manusia, tumbuhan dan binatang. Janganlah sesekali menjadi api panas
yang membakar daun kering dan kayu.
Oleh yang demikian, pada pendakwah dan
pelindung Risalah Allah adalah pemuda. Jangan kita biarkan Pemuda Al-Quran yang
dinanti-nantikan ibarat katak bawah tempurung. Sebaliknya kita perlu yakin dan percaya bahawa
pandangan mereka seakan luasnya pandangan mata burung. Kita sudah semestinya
tidak menginginkan pemuda ibarat buluh kasap hujungnya hilang pangkalnya lesap.
Tekadkan azam kita dengan merakyatkan mentaliti pemuda Al-Quran suatu penantian
yang tidak menyeksakan sebaliknya memberi kebahagiaan.
Marilah sama-sama kita balingi joran harapan agar terumpan ikan
impian juga mampu menari mengikut rentak bernama perubahan dan bergerak
mengikut alunan kemodenan. Semoga Pemuda Al-Quran yang kita nantikan bakal
muncul membawa obor perubahan.
Comments
Post a Comment