Pindaan Akta 355 : Satu Pelaksanaan Mengikut Kemampuan 

(Ditulis Oleh : Kencana Hijau, Jordan)

Usul Persendirian bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian, bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat.
Segelintir yang menolak mengatakan bahawa Pindaan Akta 355 merupakan tidak kondusif, tangan belakang untuk melaksanakan Hukum Hudud, tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Modal Politik Parti dan banyak skeptikal lagi. Oleh itu, saya akan membawa kalian untuk memahami isu ini dengan ilmiah dan rasional. Kita tidak mahu kesalahfahaman dalam isu sehinggakan menyebabkan pertelingkahan sebaliknya suasana perbincangan akan berlaku lebih banyak terutama dalam kalangan Ahli Parlimen Islam.

Sekilas Akta 355

Pada tanggal 3 Mac 1965, Parlimen Malaysia telah meluluskan satu undang-undang bernama Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga disebut sebagai Akta 355.Tujuannya adalah untuk memberi kuasa menghukum bagi kes-kes Jenayah Syariah yang didengar oleh Mahkamah Syariah.
Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 :
* denda tidak lebih RM1000
* penjara tidak lebih 6 bulan
* rotan (TIADA)

Pindaan kali pertama Akta 355 selepas 20 tahun dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia ialah pada tahun 1984. Bidang kuasa Mahkamah Syariah Pindaan 1984 dinaikkan kepada :
* denda tidak lebih RM5000
* penjara tidak lebih 3 tahun
* rotan tidak lebih 6 sebatan

Bidang kuasa ini merangkumi Mahkamah Rendah, Tinggi dan Rayuan Syariah.
Usul Pindaan Akta 355 2016
Selepas 32 tahun, usul pindaan terhadap Akta 355 telah dibentang oleh YB Ahli Parlimen Marang Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang membawa Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 pada tanggal 26 Mei 2016 setelah YB Menteri Hal Ehwal Parlimen Dato' Azalina Othman melalui Aturan Mesyuarat 14(2) telah mengusulkan RUU Ahli Persendirian YB Marang diangkat ke nombor 5.(Sebelumnya RUU Ahli Persendirian ini di kedudukan nombor 15 dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada 26 Mei 2016 dan ia adalah hari terakhir Mesyuarat kedua - Penggal keempat Parlimen ke 13) Usul pindaan Akta 355 yang dibentangkan oleh YB Marang pada 26 Mei 2016 tempoh hari adalah percubaan kali ketiga setelah kali pertama dan kedua tidak berkesempatan untuk dibentang kerana kaedah parlimen mendahulukan urusan kerajaan.Kali pertama RUU Ahli Persendirian YB Marang keluar dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) pada 7 April 2015 (Mesyuarat pertama – Penggal ketiga Parlimen ke 13) di kedudukan nombor 24.Kali kedua RUU Ahli Persendirian YB Marang keluar dalam AUM pada 17 Jun 2015 (Mesyuarat kedua - Penggal ketiga Parlimen ke 13) di kedudukan nombor 28.


Nas RUU Ahli Persendirian YB Marang
"Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan,Undang-Undang Persekutuan”.
Selain itu, beliau juga mahu memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2A,
iaitu,
“Dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain dari hukuman mati”.
Hal ini membuktikan bahawa pindaan ini berpijak di bumi bahkan ini bukan kali pertama tetapi lebih daripada itu. Semakin lama semakin banyak penistaan yang berlaku dan persepsi yang dimainkan. Sangat mengecewakan apabila persepsi ini dimainkan oleh orang Islam sendiri. Apakah yang mereka inginkan? Bukan setakat orang Islam tetapi Pengamal Undang-Undang juga Ahli Legislatif sendiri memperkatan isu ini.

Jangan Terkeliru Atau Mengeliru

Salah faham yang amat besar apabila ada yang mengatakan Rang Undang-Undang Persendirian ini jalan belakang untuk melaksanakan hudud. Sebagaimana yang kita ketahui, pada umumnya kesalahan murtad, berzina, menuduh zina, meminum arak, mencuri, merompak dan menderhaka.
Kita perlu ketahui bahawa bidang kuasa jenayah ialah bidang kuasa Persekutuan manakala bidang kuasa negeri hanyalah terhadap kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut agama Islam. Oleh yang demikian, kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam penganut agama Islam. Oleh itu, kesalahan murtad, menuduh zina, berzina dan meminum arak bagi orang Islam di bawah kuasa Dewan-Dewan Undangna Negeri manakala bagi kesalahan mencuri, merompak dan menderhaka tetap di bawah bidang kuasa Persekutuan.Rang Undang-Undang Persendirian yang dicadangkan tidak pernah mengubah struktur asal bahkan perubahan itu memerlukan Pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Bakal Memberi Kesan Kepada Orang Bukan Islam?

Tidak, Bidang kuasa Mahkamah Syariah dihadkan oleh Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya kepada orang yang beragama Islam. Orang bukan Islam tidak perlu bimbang.

Adakah Pindaan Ini Kekal Berkuatkusa Secara Automatik Di Setiap Negeri?

Jika Pindaan Akta 355 ini diluluskan sekalipun tidak meningkatkan hukuman secara automatik, sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap negeri perlu meluluskan had hukuman bagi setiap kesalahan diperingkat negeri-negeri terlebih dahulu. Masih wujud peluang berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah di peringkat DUN. Pada masa ini, kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri adalah tertakluk kepada negeri-negeri masing-masing.

Pandangan Peribadi

Pindaan Akta ini merupakan titik mula untuk memberi kuasa pada Mahkamah Syariah di Malaysia. Bukanlah kuasa yang kita maksudkan itu adalah dunia dan materialistik semata-mata bahkan inilah konsep rahmat sekalian alam yang kita maksudkan. Cuba kita bayangkan suatu ketika nanti jika Pindaan Akta ini diluluskan, orang bukan Islam akan memilih cara hukuman Islam kerana lebih adil dan saksama. Sesiapa yang belum merasai kenikmatan ini wajar untuk berfikir mendalam kesan jangka masa panjang untuk memberi kelulusan kepada Pindaan Akta 355 di Malaysia. Kronologi Usul Persendirian Akta 355 bukanlah mudah sehingga mampu mencapai tahap kini. Biarlah masyarakat menilai. Tepuk dada, tanya minda. Kita mampu mengubahnya.
Tidak cukup dengan kempen juga advokasi, kita mengajak melaui tulisan. Semoga Ahli Parlimen Islam Malaysia mampu menilai kehendak masyarakat. Inilah kewajipan mereka untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia. Penulis mengajak para pembaca budiman kita turun ke padang Merbok pada 18 Februari 2017. Kita akan melihat satu ummah yang menyokong pindaan Akta 355. Takbir ! Allahu Akbar.

Sekian.



Comments

Popular posts from this blog