ARTIKEL ISLAMIK


MASJID : ONE STOP CENTRE


Siapakah manusia pilihan Allah untuk datang memakmurkan rumah-Nya? Orang yang terpilih ini mempunyai beberapa ciri yang dinyatakan sendiri oleh Allah : “ Sesungguhnya orang yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan solat dan menunaikan zakat serta tidak takut kecuali Allah. Maka mereka diharapkan menjadi golongan orang yang mendapat hidayah.” (At-Tawbah 9:18)

Masjid hari ini wajar diluaskan peranannya seluas pandangan mata burung. Kita ingin melihat peranan masjid yang lebih proaktif dan meningkatkan peranan yang biasa sebagai suatu projek yang kita namakan sebagai ‘Dakwah Moden’. Pernahkah kita melihat masjid yang membekalkan ubatan seperti farmasi yang mempunyai doktor panel memberi ubat kepada pesakit? Pernahkah kita melihat masjid dipenuhi kereta beratur menunggu anak pulang dari pusat tuisyen seperti mana kita membeli makanan segera di khidmat pandu-lalu? Namun demikian kita perlu berusaha mengubah persepsi yang dibina bahawa peranan masjid ini lebih luas lagi lebih daripada hadir menunaikan solat fardu dan kelas pengajian agama.

Jika kita faham dan menerima tujuan dan konsep dakwah, marilah kita bersama menyeru dan mengusahakan kempen dakwah lebih kreatif. Mengapa kita pilih masjid? Ya, kerana masjid merupakan tiang rumah, manakan pula rumah boleh dibina tanpa tiang. Dakwah kini perlu kreatif. Kita jarang sekali melihat orang awam hadir ke masjid selain tujuan solat fardu dan kelas pengajian.

Maka idea untuk menubuhkan Farmasi Rakyat dan Tuisyen Rakyat di masjid ini perlu difikirkan bersama dari sudut pelaksanaan dan tindakan agar orang awam bakal lebih kerap ke masjid. Generasi pada zaman sahabat Rasulullah yang apabila mempunyai masalah terus bergegas ke masjid berbeza generasi hari ini semakin lari daripada masjid.

Kita perlu hindarkan budaya mengunjungi pusat hiburan dan pelesiran untuk menyanyi dan menari dan melakukan aktiviti yang berdosa dan melalaikan kononnya untuk mendapatkan ketenangan. Malangnya ketenangan yang dicari semakin jauh. Manusia hari ini juga kurang prihatin dengan penyakit-penyakit rohani seperti syirik, sifat mazmumah, kufur dan munafik. Akhirnya kita memandang enteng berkaitan permasalahan ini.

Ibrahim bin Maimun al-Marwazi ulama’ hadis, anak murid Atha’ bin Abi Rabah. Beliau seorang tukang emas. Kata Yahya bin Ma’in : “Kalau beliau sudah angkat alat pengukir tatkala mendengar azan dan tidak akan ambung kerja semula.” Masjid itu langkah hati bukan langkah kaki. Masjid itu pastikan hati kita benar-banar terpaut bukan ke laut.









Comments

Popular posts from this blog